Suatu ketika seorang sufi (ahli ibadah) bernama Hatim al-Asham diminta penjelasan oleh Ashim bin Yusuf selepas tamat pengajian majlis ilmu yang diikutinya. Ashim ialah seorang ahli fiqih yang melihat segalanya daripada kaca mata syariah.
Ashim bertanya kepada Hatim: "Ya Syaikh, bagaimanakah cara kamu melaksanakan solat?"
Hatim sebagai
ahli tarekat dan syariat menjawab: "Ketika masuk waktu solat aku
berwuduk dengan dua wuduk iaitu wuduk lahir dan wuduk batin. Wuduk lahir
itu syariat dan wuduk batin pula adalah hakikat."
Ashim sebagai
orang yang banyak memberi tumpuan pada fiqih agak terkejut. Melihat
keadaan itu, lantas Hatim segera menerangkan bahawa: "Wuduk lahir
dilakukan dengan membersihkan anggota badan menggunakan air. Manakala
wuduk batin pula, kita haruslah mencuci hati dengan tujuh hal iaitu:
1. Hati dicuci dengan rasa penyesalan (an-nadamah) - menyesal
daripada pelbagai kesalahan dan kerana meninggalkan kebaikan. Sayyidina
Umar bin Khattab r.a memiliki kebun kurma di Madinah. Pohon-pohon
kurmanya berbuah dengan kualiti yang baik sekali. Alangkah bahagiannya
hati Umar memiliki kebun tersebut. Beliau seringkali berjalan
mengelilingi dan memeriksa hasil perkebunannya. Di dalam kebun itu juga
terdapat satu sumber air.
Suatu hari, ketika Umar pulang dari kebunnya, beliau berjumpa dengan
para sahabat lalu berjalan bersamanya. Umar bertanya: "Dari manakah
kalian?" Jawab para sahabat: "Kami baru pulang daripada berjemaah Asar."
Dengan segera Umar berucap "Inna lilahi wa inna ilaihi rojiun. Jadi
kalian tadi habis jemaah Asar? Masya-Allah, saksikanlah para sahabat.
Aku ketinggalan berjemaah kerana kebun kurma ini. Maka kebun ini aku
wakafkan kepada fakir miskin."
Inilah contoh yang harus kita teladani dalam hal penyesalan meninggalkan
satu ibadah kebaikan. Bacaan taroji': Inna lilahi wa inna ilaihi rojiun
merupakan ungkapan ketika seseorang yang berhadapan dengan cubaan dan
musibah. Jadi suburnya kebun dan sumber air bagi Umar tidak lain
hanyalah cubaan yang menimpa dirinya. Dan kalimat ini juga menunjukkan
betapa penyesalan luar biasa daripada beliau akibat ketinggalan solat
Asar berjemaah.
2. Hati harus dicuci dengan taubat (taubat nasuha) - iaitu dengan
bersungguh-sungguh dan bertekad tidak akan mengulanginya. Jika perlu
taubat itu disertai dengan puasa tiga hari sebagai bukti kesungguhan,
selain membiasakan solat malam.
3. Hati harus dicuci dengan meninggalkan cinta dunia - Cinta
dunia mengakibatkan perbuatan yang salah seperti menipu, curang, rasuah
dan sebagainya.
4. Hati dicuci dengan menjauhkan diri daripada sukakan kekuasaan
(hubbur riyasah). Sesungguhnya kekuasaan sering menyibukkan manusia dan
memalingkannya daripada Allah Yang Maha Kuasa.
5. Hati harus dicuci dengan meninggalkan perasaan suka dipuji
(hubbul mahmadah). Pujian seringkali menenggelamkan manusia dalam sifat
keAkuan yang mengakibatkan kesombongan yang luar biasa.
6. Baiknya hati dicuci daripada dendam. Meninggalkan dan
melupakan dendam kesumat secara automatik akan memberikan kepada
seseorang itu ketabahan dan kesabaran menghadapi cubaan dan rasa sakit
daripada orang lain.
7. Baiknya hati dicuci dengan meninggalkan hasad dengki yang
sudah pastinya sangat berbahaya. Bahaya hasad adalah seperti bahayanya
api yang dengan cepat membakar kayu.
Kemudian Hatim menceritakan pula bagaimana cara beliau melaksanakan
solat dengan kata-katanya: "Ketika memulakan solat, aku merasa Kaabah di
depanku, syurga di kananku, neraka di kiriku, siratal mustaqim di
telapak kakiku, dan Izrail telah menunggu di belakangku yang siap sedia
mencabut nyawa."
Inilah yang dikatakan Qashrul amal (pendek angan-angan) iaitu semangat
yang mampu mendorong untuk meningkatkan kualiti beribadat.

Tidak ada komentar:
Posting Komentar