Antara sifat
seorang Mukmin sejati ialah sentiasa memohon dan meminta kepada Allah
SWT dengan penuh pengharapan dan bersungguh-sungguh. Doa adalah talian
hayat dalam kehidupan seorang insan bernama hamba dengan Allah yang Maha
Berkuasa.
Apabila
seseorang hamba itu berdoa, dia akan merasakan Allah SWT sentiasa dekat
dengannya, mengawal dan memerhatikan segala tindakannya tanpa henti.
Apabila seseorang hamba itu berdoa, dia perlu yakin dan percaya bahawa
doanya itu akan diperkenankan oleh Allah SWT.
Keyakinan ini berasaskan kepada firman Allah SWT yang bermaksud:
"Berdoalah
kepada-Ku, nescaya akan Ku perkenankan bagimu. Sesungguhnya orang-orang
yang menyombongkan diri daripada menyembah-Ku akan masuk neraka Jahanam
dalam keadaan hina dina."
(Al-Mukmin: 60)
Namun begitu,
kita perlu berwaspada agar doa yang kita panjatkan kepada Allah SWT
tidak terhalang daripada dimakbulkan. Ini adalah kerana, terdapat
daripada kalangan orang beriman yang bukan sahaja tidak dimakbulkan,
bahkan langsung tidak dipedulikan oleh Allah SWT. Antaranya ialah;
1) Menggunakan harta haram
Seseorang yang
memperoleh pendapatan yang haram. Lalu menggunakannya untuk makan dan
minum, membeli pakaian, rumah dan kenderaan. Ia akan menyebabkan doa
yang dipanjatkan kepada Allah SWT terhijab dan tidak diterima.
Ini berdasarkan
sebuah hadis yang bermaksud: ...Seorang pemuda yang bermusafir dalam
perjalanan yang jauh, hal rambutnya kusut masai, mukanya berdebu di mana
dia mengangkat tangan ke langit : Wahai Tuhanku...wahai Tuhanku...
sedangkan makanannya haram, minumannya haram dan pakaiannya haram..Dan
dia dibesarkan dengan memakan makanan haram maka bagaimana Kami mahu
mengabulkan doanya. (H.R Muslim)
Dalam hadis tersebut Rasulullah SAW telah menggambarkan bagaimana doa seseorang itu boleh ditolak disebabkan harta yang haram.Walaupun dia telah menepati ciri-ciri doa yang makbul seperti bermusafir, tawaduk dan bersungguh-sungguh. Namun, tetap juga ditolak kerana tidak mempedulikan persoalan hartanya, sama ada daripada sumber yang halal atau yang haram.
Oleh itu, kita
perlu berhati-hati dalam menentukan sumber pendapatan yang kita peroleh,
sama ada haram secara zat (haram lizatihi) atau haram kerana
sebab-sebab yang lain (haram lighairihi).
Haram lizatihi
boleh terjadi apabila kita terlibat dalam kegiatan haram yang telah
terkandung dalam al-Quran dan hadis secara langsung seperti; perniagaan
minuman keras, perjudian dan maksiat. Manakala haram lighairihi pula
yang melibatkan keharaman secara tidak langsung seperti riba, gharar dan
sebagainya.
2) Gelojoh dan terburu-buru
Antara golongan yang ditolak doanya ialah mereka yang gelojoh dan terburu-buru ketika berdoa.
Sabda Nabi SAW
yang bermaksud: "Dikabulkan doa seseorang daripada kalian selama ia
tidak buru-buru, (di mana) ia berkata: Aku sudah berdoa namun belum
dikabulkan doaku. "(H.R Al-Bukhari)
Yang
dimaksudkan dengan demikian ialah mereka yang apabila berdoa, dia
seolah-olah mendesak dan memaksa Allah SWT supaya memakbulkan doanya
secepat mungkin. Justeru, dalam kita berdoa, kena banyakkan bersabar dan
bersangka baik kepada Allah SWT.
Mungkin doa
kita sudah dimakbulkan, tetapi menunggu masa untuk dijadikan sebagai
realiti. Semuanya mengikut keputusan dan perancangan Allah dan ia adalah
yang terbaik.
Lihatlah
bagaimana Nabi Musa dan Nabi Harun as. berdoa tentang kekejaman Firaun.
Doa mereka berdua dimakbulkan oleh Allah SWT. Namun, kerajaan Firaun
tidak tumbang dalam masa sehari dua, bahkan memakan masa puluhan tahun
selepas itu.
Demikian juga
Nabi Yaakub as. yang tidak putus-putus berdoa kepada Allah SWT supaya
dikembalikan anak Baginda iaitu Nabi Yusuf as. Doanya dimakbulkan, namun
selepas puluhan tahun baru Baginda bertemu semula dengan Nabi Yusuf as.
3) Tidak bersungguh-sungguh dalam berdoa
Sebagaimana
sekiranya kita meminta daripada manusia, kita juga perlu
bersungguh-sungguh ketika berdoa dan memohon daripada Allah SWT. Tidak
boleh berdoa secara sambil lewa atau acuh tak acuh seperti melepaskan
batuk di tangga.
Sabda Nabi SAW: Apabila seseorang daripada kamu berdoa dan memohon kepada Allah SWT, janganlah dia mengucapkan:
"Ya Allah, ampunilah dosaku jika Engkau kehendaki, sayangilah aku jika Engkau kehendaki, dan berilah rezeki jika engkau kehendaki". Akan tetapi, dia harus bersungguh-sungguh dalam berdoa. Sesungguhnya Allah berbuat menurut apa yang Dia kehendaki dan tidak ada yang memaksa-Nya.
"Ya Allah, ampunilah dosaku jika Engkau kehendaki, sayangilah aku jika Engkau kehendaki, dan berilah rezeki jika engkau kehendaki". Akan tetapi, dia harus bersungguh-sungguh dalam berdoa. Sesungguhnya Allah berbuat menurut apa yang Dia kehendaki dan tidak ada yang memaksa-Nya.
(H.R Al-Bukhari)
4) Lalai dan tidak khusyuk
Kita perlu
fokus dan betul-betul memberikan perhatian dengan penuh pengharapan.
Setiap lafaz perkataan yang diungkapkan daripada mulut perlu keluar
daripada hati yang tulus ikhlas. Ini menuntut supaya kita memahami isi
kandungan doa yang dikemukakan.
Sabda Nabi SAW:
"Berdoalah kepada Allah SWT dan kamu yakin akan dikabulkan. Ketahuilah
bahawa Allah tidak akan mengkabulkan doa orang yang hatinya lalai dan
tidak khusyuk." (H.R At-Tirmidzi dan Al-Hakim).
5) Meninggalkan amar makruf dan nahi mungkar
Allah SWT telah
menjadikan amar makruf dan nahi mungkar sebagai satu syarat untuk kita
menjadi umat yang terbaik. Firman Allah SWT yang bermaksud:
"Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji) serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman)."
"Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji) serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman)."
(Al-Imran: 110)
Apabila kita
meninggalkan kewajipan ini, maka akan berleluasalah maksiat dan
penderhakaan di atas muka bumi. Apabila kita hanya melihat sahaja ma
ksiat yang berlaku tanpa mengambil tindakan untuk membanterasnya, maka
pada ketika itulah Allah SWT akan menurunkan bala dan tidak akan
memakbulkan doa kita.
Nabi SAW bersabda:
"Demi Zat yang jiwaku di tangan-Nya, hendaklah kalian menyuruh yang makruf dan mencegah kemungkaran atau (kalau tidak kalian lakukan) maka pasti Allah akan menurunkan seksaan kepada kalian, hingga kalian berdoa kepada-Nya, tetapi tidak dikabulkan."
"Demi Zat yang jiwaku di tangan-Nya, hendaklah kalian menyuruh yang makruf dan mencegah kemungkaran atau (kalau tidak kalian lakukan) maka pasti Allah akan menurunkan seksaan kepada kalian, hingga kalian berdoa kepada-Nya, tetapi tidak dikabulkan."
(H.R At-Tirmidzi dan Ahmad)

Tidak ada komentar:
Posting Komentar