Sabda Nabi S.A.W
”Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan kemuliaan akhlak”
[Riwayat Ibn ‘Abd al-Barr]
Hadith ini
menunjukkan kepada kita bahawa antara tujuan Nabi saw diutuskan adalah
untuk menyempurnakan akhlak umat manusia. Penyempurnaan akhlak ini
adalah melalui contoh dan teladan mulia yang ditunjukkan oleh Baginda
kepada umatnya atau disebut sebagai qudwah hasanah. Dalam hal ini Allah
swt telah berfirman : “Sesungguhnya bagi kamu pada Rasulullah itu
peribadi yang mulia”. (al-Ahzab:21). Antara akhlak-akhlak mulia yang
ditunjukkan oleh Rasulullah saw adalah dengan menjaga penampilan diri
Baginda di hadapan khalayak ramai. Hal ini termasuklah bagaimana ‘fesyen
baginda’ ketika berpakaian.
Adakah salah
untuk kita berfesyen? Sesungguhnya Islam tidak melarang umatnya untuk
mengenakan sesuatu fesyen sama ada dalam bentuk pakaian ataupun aksesori
kecantikan. Sesungguhnya Allah menyukai hamba-hambaNya yang menjaga
keterampilan diri dan kecantikan. Malah Allah swt menyukai sesuatu
perkara yang cantik dan indah.
Daripada Abdullah Ibnu Masud ra beliau mendengar Rasulullah saw bersabda:
“Tidak akan masuk syurga sesiapa yang ada sifat sombong walaupun seberat zarah”. Maka telah berkata seorang lelaki kepada Baginda:”Sesungguhnya seseorang individu itu suka jika pakaiannya baik dan kasutnya juga baik”. Balas Baginda saw, ”Sesungguhnya Allah itu cantik dan suka akan kecantikan. Sifat sombong meleyapkan kebenaran dan merupakan kehinaan kepada manusia”.
“Tidak akan masuk syurga sesiapa yang ada sifat sombong walaupun seberat zarah”. Maka telah berkata seorang lelaki kepada Baginda:”Sesungguhnya seseorang individu itu suka jika pakaiannya baik dan kasutnya juga baik”. Balas Baginda saw, ”Sesungguhnya Allah itu cantik dan suka akan kecantikan. Sifat sombong meleyapkan kebenaran dan merupakan kehinaan kepada manusia”.
[H.R Muslim]
Daripada hadith
ini jelas menunjukkan bahawa Rasulullah saw tidak melarang seseorang
manusia itu untuk memperagakan fesyen malah Baginda menerangkan bahawa
Allah itu sifatNya cantik dan suka akan kecantikan. Namun Rasulullah saw
melarang jika seseorang itu berfesyen dalam keadaan angkuh dan sombong
kepada masyarakat sekelilingnya.
Walaupun kita
diberikan kebebasan dalam memperagakan sesuatu fesyen, tidak bermakna
kita boleh memakai apa sahaja pakaian tanpa perlu menghiraukan adab dan
tata susila. Sesungguhnya Islam telah menggariskan beberapa panduan bagi
seseorang muslim mahupun muslimah dalam berpakaian. Antara perkara yang
perlu diambil perhatian dalam berfesyen ialah:
1) Memastikan pakaian tersebut menutup aurat.
Apakah itu aurat? Aurat berasal daripada perkataan arab yang bermaksud
aib atau kekurangan pada sesuatu benda. Apabila menyebut mengenai aurat
dalam berpakaian ialah kawasan anggota yang perlu dijaga dan ditutup
oleh setiap orang Islam daripada dilihat oleh orang lain. Tujuan utama
diwajibkan menutup aurat ke atas umat Islam adalah semata-mata untuk
memelihara dirinya dan orang lain daripada perkara-perkara buruk yang
menjerumuskan mereka ke dalam lembah dosa. Aurat bagi seseorang lelaki
adalah di antara kawasan pusat dan lututnya. Manakala bagi seseorang
wanita pula auratnya ketika bersama dengan bukan mahram adalah seluruh
anggota badan kecuali muka dan kedua pergelangan tangannya.
2) Tidak memakai pakaian yang ketat sehingga menampakkan bentuk tubuh
Antara adab ketika berpakaian adalah memakai pakaian yang tidak ketat
yang menampakkan bentuk tubuh si pemakai terutamanya kepada kaum wanita.
Dalam hal ini Nabi SAW telah menyatakan sepertimana yang diriwayatkan
oleh Imam Muslim dalam Sahihnya bahawa antara golongan yang akan diazab
oleh Allah dalam api neraka adalah golongan perempuan yang disebut
‘Kaasiyat Aariyat’ iaitu wanita-wanita yang memakai pakaian dengan
mendedahkan sebahagian bentuk tubuhnya. Salah seorang ulama’ terkenal
iaitu Sheikh Muhammad bin Salih al-Uthaimin ketika mengulas hadith ini
beliau menyatakan bahawa yang dimaksudkan golongan ini antaranya
perempuan yang menampakkan bentuk tubuh badan sama ada dengan pakaian
yang ketat, jarang mahupun terdedah sebahagian daripada tubuh badannya
yang telah dilarang oleh syariat Islam.
Bagi kaum lelaki juga mereka tidak digalakkan untuk memakai pakaian yang
ketat sehingga menampakkan bentuk tubuh pada bahagian aurat mereka dan
hukumnya adalah makruh sepertimana yang diterangkan oleh Imam al-Nawawi
dalam karyanya al-Majmu’.
3) Tidak memakai pakaian atau aksesori yang menyerupai ciri-ciri budaya orang bukan Islam.
Sesungguhnya Islam melarang umatnya daripada terikut-ikut dengan budaya
negatif masyarakat bukan Islam. Hal ini termasuklah ketika berpakaian
dan memperagakan sesuatu fesyen. Nabi saw telah melarang kita daripada
terikut-ikut dengan budaya luar yang kadang kala mampu menggugat akidah
dan akhlak umat Islam terutamanya di kalangan para pemuda-pemudi. Dalam
sebuah hadith Nabi saw pernah bersabda: ” Sesiapa yang terikut-ikut
dengan gaya hidup sesuatu kaum maka dia termasuk dalam golongan
tersebut” (Direkodkan oleh Abu Daud dan al-Tirmizi). Hadith ini melarang
umat Islam daripada terikut-ikut dengan budaya luar yang bersifat
negatif termasuklah dalam berpakaian.
Antara ikutan negatif yang berlaku seperti memakai pakaian yang
mempunyai gambar salib, gambar-gambar yang tidak menutup aurat,
bertindik pada anggota badan tertentu bagi kaum lelaki, melukis tatu dan
lain-lain. Inilah realiti umat Islam akhir zaman sepertimana yang telah
dinyatakan oleh Nabi saw : “Sesungguhnya kamu akan mengikuti gaya hidup
masyarakat selepas kamu (Yahudi dan Nasrani) sejengkal demi sejengkal,
sehasta demi sehasta sehingga jika mereka masuk ke lubang biawak sekali
pun nescaya kamu akan memasukinya”. (Hadith muttafaq alaih).
4) Fesyen yang bertentangan dengan jantina si pemakai.
Sesungguhnya Islam melarang umatnya daripada menyerupai golongan yang
berlainan jantina. Hal ini termasuklah dalam memperagakan fesyen. Hukum
lelaki yang menyerupai wanita dan wanita yang menyerupai lelaki adalah
haram kerana ianya berlawanan dengan fitrah asal penciptaan seseorang
manusia sama ada dalam tingkah laku dan juga pemakaian. Contohnya kaum
lelaki tidak dibenarkan memakai pakaian yang menunjukkan ciri-ciri kaum
wanita seperti memakai pakaian yang diperbuat daripada sutera. Begitulah
juga mereka ditegah daripada memperagakan tubuh badan mereka dengan
aksesori wanita seperti rantai emas, pewarna bibir, pewarna kuku dan
sebagainya. Nabi saw telah bersabda: “Sesungguhnya Allah swt melaknat
lelaki yang memakai pakaian wanita dan wanita yang memakai pakaian
lelaki”. (Direkodkan oleh Abu Daud, al-Nasaie dan Ahmad).
5) Mengelakkan daripada fesyen-fesyen yang keterlaluan daripada adat kebiasaan masyarakat setempat.
Nabi saw menganjurkan kita supaya bersederhana dalam segala perkara
termasuklah ketika memperagakan sesuatu fesyen. Kita perlu mengambil
berat dalam memilih sesuatu fesyen yang ingin diketengahkan. Antara
larangan Nabi saw dalam berpakaian ialah memakai pakaian yang disebut
sebagai pakaian ‘syuhrah’ iaitu pakaian yang keterlaluan bentuk dan
potongannya berbanding pakaian-pakaian kebiasaan. Hal ini adalah untuk
mengelakkan daripada timbulnya perasaan sombong di dalam jiwa si
pemakai. Nabi saw telah bersabda:
“Sesiapa yang memakai pakaian ‘syuhrah’ di dunia maka Allah swt akan memakaikannya dengan pakaian yang hina pada hari akhirat”.
(H.R Abu Daud & Ibnu Majah).
Kesimpulannya Islam tidak melarang seseorang itu untuk berfesyen namun
perlulah mengikut sebagaimana yang telah digariskan oleh syariat Islam.
Malah kita digalakkan untuk menghias diri kita secara kemas, cantik dan
sederhana. Persoalan penting juga adalah bagaimanakah niat kita ketika
berfesyen? Dan kita sewajibnya menghiaskan fesyen kita yang diharuskan
syarak itu tadi dengan penuh rasa ketaqwaan sepertimana firman Allah swt
: “Dan pakaian taqwa itulah yang paling baik”.

Tidak ada komentar:
Posting Komentar