Berkata Abu Murrah Ath-Tha’ifi r.a. bawahasanya Nabi s.a.w. telah bersabda : Allah telah berfirman:
“Wahai anak Adam! Bersembahyanglah untuk Aku di awal pagi, niscaya Aku akan mencukupimu di akhirnya.”(Riwayat Ahmad)
Hadis Qudsi ini menganjurkan kita mengerjakan Solat Dhuha yang mana
antara faedahnya, Allah Ta’ala memberi jaminan akan melaksanakan segala
keperluan-keperluan keduniaan manusia setiap hari.
Antara ibadat sunat yang dianjurkan dan menjadi amalan Rasullullah SAW
sendiri ialah solat sunat Dhuha. Banyak hadis-hadis yang mengalakkannya
dan menyatakan keutamaannya, antaranya dalam riwayat Abu Hurairah
katanya:
“Kekasihku Rasullullah SAW telah berwasiat kepadaku tiga perkara, aku
tidak meninggalkannya, iaitu ; supaya aku tidak tidur melainkan setelah
mengerjakan witir, dan supaya aku tidak meninggalkan dua rakaat solat
Dhuha kerana ia adalah sunat awwabin, dan berpuasa tiga hari daripada
tiap-tiap bulan”(Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim)
Dalam riwayat yang lain Rasullullah SAW pernah bersabda yang maksudnya :
“Pada tiap-tiap pagi lazimkanlah atas tiap-tiap ruas anggota seseorang
kamu bersedekah; tiap-tiap tahlil satu sedekah, tiap-tiap takbir satu
sedekah, menyuruh berbuat baik satu sedekah, dan cukuplah (sebagai
ganti) yang demikian itu dengan mengerjakan dua rakaat solat Dhuha
.”(Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim)
Adapun kelebihan sembahyang Dhuha itu sepertimana di dalam kitab
“An-Nurain” sabda Rasullullah SAW yang maksudnya : “Dua rakaat Dhuha
menarik rezeki dan menolak kepapaan."
Dalam satu riwayat yang lain Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya :
“Barangsiapa yang menjaga sembahyang Dhuhanya nescaya diampuni Allah
baginya akan segala dosanya walaupun seperti buih dilautan.”(Riwayat
Ibnu Majah dan At-Tirmidzi)
Dan daripada Anas bin Malik Radhiallahu ‘anhu berkata: “Aku mendengar
Rasulullah SAW berkata: “Barangsiapa yang mengerjakan sembahyang sunat
Dhuha dua belas rakaat dibina akan Allah baginya sebuah mahligai
daripada emas”(Riwayat Ibnu Majah dan Tirmidzi)
Waktu sembahyang Dhuha ialah dari naik matahari sampai se-penggalah dan
berakhir di waktu matahari tergelincir tetapi disunatkan dita’khirkan
sehingga matahari naik tinggi dan panas terik.
Cara menunaikannya pula adalah sama seperti sembahyang-sembahyang sunat
yang lain iaitu dua rakaat satu salam. Boleh juga dikerjakan empat
rakaat, enam rakaat dan lapan rakaat. Menurut sebahagian ulama jumlah
rakaatnya tidak terbatas dan tidak ada dalil yang membatasi jumlah
rakaat secara tertentu, sebagaimana sebuah hadis yang diriwayatkan oleh
‘Aisyah bermaksud :”Adalah Nabi SAW bersembahyang Dhuha empat rakaat dan
menambahnya seberapa yang dikehedakinya.” (Hadis riwayat Ahmad, Muslim
dan Ibnu Majah)
Dalam sebuah hadis yang lain Nabi SAW bersabda bermaksud : ” Barangsiapa
yang menunaikan sembahyang sunat Dhuha sebanyak dua rakaat tidak
ditulis dia daripada orang-orang yang lalai daripada mengingati Allah
dan barangsiapa yang menunaikan nya sebanyak empat rakaat ditulis akan
dia daripada orang-orang yang suka beribadat dan barangsiapa yang
menunaikannya sebanyak enam rakaat dicukupkan baginya pada hari
tersebut, barangsiapa menunaikanyan sebanyak lapan rakaat Allah menulis
baginya daripada orang-orang yang selalu berbuat taat, barang siapa yang
menunaikannya sebanyak dua belas rakaat Allah akan membina baginya
mahligai didalam syurga dan tidak ada satu hari dan malam melainkan
Allah mempunyai pemberian dan sedekah kepada hamba-hambaNya dan Allah
tidak mengurniakan kepada seseorang daripada hamba-hambaNya yang lebih
baik daripada petunjuk supaya sentiasa mengingatiNya,” (Riwayat
At-Thabarani ).

Tidak ada komentar:
Posting Komentar