Jumat, 07 Juni 2013

Ilmu untuk semua


Ilmu untuk semua

·٠•● ♥ ♥●•٠·
Jangan kamu anggap aku wanita solehah dengan apa yang aku post...
Jangan kamu anggap aku mulia dengan apa yang aku taip....
Jangan kamu tertarik atau jatuh hati dengan keperibadian yang aku tunjukkan....
kerana kamu masih belum mengenali aku dan keperibadianku..juga masa silamku...
Mudah untuk menuturkan dua perkataan ni,tapi berat lagi bila melaluinya. "Redha & Pasrah" dua perkataan yg amat berbeza mahu pun maksudnya, "Redha itu rela" dan "Pasrah itu menyerah"...
Aku cuma wanita biasa..
Tidak segigih Siti Hawa..
Tidak sesetia Ainul Mardhiah..
Tidak seberani Sumayyah..
Tidak semulia Siti Khadijah..
Tidak secantik Bidadari..
Bukannya srikandi sejati seperti Rabiatul Adawiyah..

Tetapi aku wanita biasa yang ingin berjuang dan syahid sebagai srikandi islam..

insyaALLAH...
·٠•● ♥ ♥●•٠·

Mati Dalam Keadaan Islam ~ Mati Tanpa Dosa



بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَٰنِ الرَّحِيمِ
Mati Dalam Keadaan Islam

Allah swt. bersabda, "Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa dan janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam". (A-li' Imraan: 102)

Dari Syaidina Usman r.a. katanya Nabi saw. bersabda; "Sesiapa mati dalam keadaan dia yakin tiada Tuhan selain Allah maka dia akan masuk syurga." (HR Muslim)

Sesiapa yang mati dalam keadaan Islam (beriman), dia dijamin akan dapat masuk Syurga.

Sesiapa yang mati dalam keadaan Islam, ada juga yang akan masuk Neraka untuk pembalasan dosa tetapi dia tidak kekal di Neraka. Setelah selesai hukuman, dia akan dikeluarkan dari Neraka dan dimasukkan ke Syurga.

Sesiapa yang mati dalam keadaan BUKAN ISLAM, dia tidak akan dapat masuk Syurga dan akan masuk Neraka dan kekal di Neraka buat selama-lamanya. 

Mati Tanpa Dosa



Setiap yang bernyawa akan merasai mati. Kemudian kepada Kami kamu dikembalikan. (Every soul will taste death. Then to Us will you be returned). (Al-Ankabut: 57)

Jangan takut mati. 
Yang perlu kita takuti adalah azab siksa sesudah mati.
Akan ada azab kubur, azab di Mahsyar dan azab Neraka.
Azab siksa adalah balasan untuk sesiapa yang mempunyai dosa.

Allah Taala berfirman, maksudnya : "Dan sesungguhnya akan Kami rasakan kepada mereka yang melakukan dosa sebahagian azab yang dekat (di dunia) selain azab yang lebih besar (di akhirat), mudah-mudahan mereka kembali (ke jalan yang benar)." (as-Sajadah: 21)

Untuk selamat dari azab siksa selepas mati adalah mati tanpa dosa.

Untuk mencapai matlamat mati tanpa dosa:

1. Jaga diri dari melakukan dosa. Perkara WAJIB, jangan tinggal. Perkara haram, jangan buat.

2. Segera bertaubat jika melakukan dosa.

3. Segera memohan maaf dan halal jika melakukan kesalahan kepada manusia lain.

4. Bayar semua hutang. Pastikan waris tahu hutang kita dan ingatkan mereka untuk membayar hutang tersebut jika kita meninggal dunia.

5. Sentiasa berdoa kepada Allah memohon keampunan dosa, keselamatan dan perlindungan dari siksa azab neraka dan siksa kubur.
وَ السَّلاَمُ

Sebab Hati Menjadi Keras


Sabda Nabi S.A.W



Hadis di atas menceritakan tentang salah satu penyakit yang menjadikan seseorang itu jauh daripada Allah Subhanahu Wataala bahkan segala amalan yang dikerja sia-sia belaka, kerana ianya dilakukan dengan berpaksikan kepada hawa nafsu bukan semata-mata kerana Allah. Penyakitnya di sebut sebagai hati batu atau hati keras. Penyakit ini membuatkan seseorang itu langsung tidak mahu mendengar apa-apa nasihat ke arah kebaikan. Mereka merasakan apa yang mereka lakukan adalah betul dan orang lain semuanya salah. Malah, kalau ada orang yang cuba menasihati atau membetulkan dirinya dianggapnya sebagai penyibuk atau pengganggu. Ya Allah ampunilah kami Ya Allah!

Hati yang keras ini juga akan sentiasa mendorong untuk membuat maksiat dan kejahatan dan merasa berat untuk berzikir dan membaca Al-Qur’an serta sangat malas untuk melaksanakan segala jenis ibadat yang diwajibkan Allah Subhanahu Wataala. Jikalau masuk waktu sembahyang ia akan merasa terbeban dengan ibadat sembahyang itu bukan merasa bertuah berpeluang untuk sekali lagi berhadapan dengan Allah Subhanahu Wataala dan juga kalau sudah sembahyang, maka badannya sahaja yang sembahyang, sedangkan hatinya pergi merayau ke sana dan ke mari.

Tetapi kalau melihat suatu pertunjukan yang melalaikan seperti konsert, berseronok di tempat-tempat maksiat dan sebagainya hatinya selalu terpanggil ke sana. Dia sanggup bersusah payah mencari duit, membeli tiket, walau dengan apa rintangan sekalipun dia tetap akan hadir ke sana dan merasa ringan walaupun ia terpaksa mengorbankan apa jua yang diperlukan asal sahaja maksud di hati dapat tercapai.


Menurut Syeikh Ibrahim Adham, antara sebab atau tanda-tanda hati mati atau hati menjadi keras adalah:
  • Mengaku kenal Allah Subhanahu Wataala, tetapi tidak menunaikan hak-hak-Nya
  • Mengaku cinta kepada Rasulullah Sallallahualaihi wassalam, tetapi mengabaikan sunnah baginda
  • Membaca al-Quran, tetapi tidak beramal dengan hukum-hukum di dalamnya
  • Memakan nikmat-nikmat Allah Subhanahu Wataala, tetapi tidak mensyukuri atas pemberian-Nya
  • Mengaku syaitan itu musuh, tetapi tidak berjuang menentangnya
  • Mengaku adanya nikmat syurga, tetapi tidak beramal untuk mendapatkannya
  • Mengaku adanya siksa neraka, tetapi tidak berusaha untuk menjauhinya
  • Mengaku kematian pasti tiba bagi setiap jiwa, tetapi masih tidak bersedia untuknya
  • Menyibukkan diri membuka keaiban orang lain, tetapi lupa akan keaiban diri sendiri
  • Menghantar dan menguburkan jenazah/mayat saudara se-Islam, tetapi tidak mengambil iktibar darinya.


Jadi bagaimana kita hendak mengubati hati yang keras ini? Rasulullah Sallallahualaihi wassalam telah memberikan jawapan keepada kita semua iaitu untuk mengubatinya ialah dengan Tilawatul Quran dan mengingati mati. Selain itu, para ulama juga telah mengariskan beberapa panduan untuk mengubatinya antaranya ialah dengan menjauhi maksiat samaada kecil atau besar, melazimi amalan harian terutamanya membaca Al­Quran, memperbanyakkan berzikir kepada Allah, sentiasa mengingati mati dan persoalan kubur, menghadiri majlis ilmu, muhasabah diri dan sebagainya. Oleh itu, marilah bersama-­sama kita menterjemahkan semua saranan yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah Sallallahualaihi wassalam untuk mengelakkan hati kita menjadi keras dan berkarat, kerana apabila berkaratnya hati maka kita tidak lagi dapat merasai nikmat dan kelazatan berubudiyah kepada Allah Subhanahu Wataala.

Kelebihan Solat Sunat Dhuha



Berkata Abu Murrah Ath-Tha’ifi r.a. bawahasanya Nabi s.a.w. telah bersabda : Allah telah berfirman:

“Wahai anak Adam! Bersembahyanglah untuk Aku di awal pagi, niscaya Aku akan mencukupimu di akhirnya.”(Riwayat Ahmad)


Hadis Qudsi ini menganjurkan kita mengerjakan Solat Dhuha yang mana antara faedahnya, Allah Ta’ala memberi jaminan akan melaksanakan segala keperluan-keperluan keduniaan manusia setiap hari.
Antara ibadat sunat yang dianjurkan dan menjadi amalan Rasullullah SAW sendiri ialah solat sunat Dhuha. Banyak hadis-hadis yang mengalakkannya dan menyatakan keutamaannya, antaranya dalam riwayat Abu Hurairah katanya:
“Kekasihku Rasullullah SAW telah berwasiat kepadaku tiga perkara, aku tidak meninggalkannya, iaitu ; supaya aku tidak tidur melainkan setelah mengerjakan witir, dan supaya aku tidak meninggalkan dua rakaat solat Dhuha kerana ia adalah sunat awwabin, dan berpuasa tiga hari daripada tiap-tiap bulan”(Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim)
Dalam riwayat yang lain Rasullullah SAW pernah bersabda yang maksudnya :
“Pada tiap-tiap pagi lazimkanlah atas tiap-tiap ruas anggota seseorang kamu bersedekah; tiap-tiap tahlil satu sedekah, tiap-tiap takbir satu sedekah, menyuruh berbuat baik satu sedekah, dan cukuplah (sebagai ganti) yang demikian itu dengan mengerjakan dua rakaat solat Dhuha .”(Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim)
Adapun kelebihan sembahyang Dhuha itu sepertimana di dalam kitab “An-Nurain” sabda Rasullullah SAW yang maksudnya : “Dua rakaat Dhuha menarik rezeki dan menolak kepapaan."
Dalam satu riwayat yang lain Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya : “Barangsiapa yang menjaga sembahyang Dhuhanya nescaya diampuni Allah baginya akan segala dosanya walaupun seperti buih dilautan.”(Riwayat Ibnu Majah dan At-Tirmidzi)
Dan daripada Anas bin Malik Radhiallahu ‘anhu berkata: “Aku mendengar Rasulullah SAW berkata: “Barangsiapa yang mengerjakan sembahyang sunat Dhuha dua belas rakaat dibina akan Allah baginya sebuah mahligai daripada emas”(Riwayat Ibnu Majah dan Tirmidzi)
Waktu sembahyang Dhuha ialah dari naik matahari sampai se-penggalah dan berakhir di waktu matahari tergelincir tetapi disunatkan dita’khirkan sehingga matahari naik tinggi dan panas terik.
Cara menunaikannya pula adalah sama seperti sembahyang-sembahyang sunat yang lain iaitu dua rakaat satu salam. Boleh juga dikerjakan empat rakaat, enam rakaat dan lapan rakaat. Menurut sebahagian ulama jumlah rakaatnya tidak terbatas dan tidak ada dalil yang membatasi jumlah rakaat secara tertentu, sebagaimana sebuah hadis yang diriwayatkan oleh ‘Aisyah bermaksud :”Adalah Nabi SAW bersembahyang Dhuha empat rakaat dan menambahnya seberapa yang dikehedakinya.” (Hadis riwayat Ahmad, Muslim dan Ibnu Majah)
Dalam sebuah hadis yang lain Nabi SAW bersabda bermaksud : ” Barangsiapa yang menunaikan sembahyang sunat Dhuha sebanyak dua rakaat tidak ditulis dia daripada orang-orang yang lalai daripada mengingati Allah dan barangsiapa yang menunaikan nya sebanyak empat rakaat ditulis akan dia daripada orang-orang yang suka beribadat dan barangsiapa yang menunaikannya sebanyak enam rakaat dicukupkan baginya pada hari tersebut, barangsiapa menunaikanyan sebanyak lapan rakaat Allah menulis baginya daripada orang-orang yang selalu berbuat taat, barang siapa yang menunaikannya sebanyak dua belas rakaat Allah akan membina baginya mahligai didalam syurga dan tidak ada satu hari dan malam melainkan Allah mempunyai pemberian dan sedekah kepada hamba-hambaNya dan Allah tidak mengurniakan kepada seseorang daripada hamba-hambaNya yang lebih baik daripada petunjuk supaya sentiasa mengingatiNya,” (Riwayat At-Thabarani ).

20 Amalan Bagi Kemurahan Rezeki

Amalan-amalan berikut akan menjadi sebab Allah melimpahi hamba-Nya dengan keluasan rezeki dan rasa kaya dengan pemberian-Nya. Berdasarkan konsep rezeki yang telah diperkatakan, Allah memberi jalan buat setiap hamba-Nya untuk memperolehi rezeki dalam pelbagai bentuk yang boleh menjadi punca kebaikan dunia dan akhirat.

1. Menyempatkan Diri Beribadah

Allah tidak sia-siakan pengabdian diri hamba-Nya, seperti firman-Nya dalam hadis qudsi:

"Wahai anak Adam, sempatkanlah untuk menyembah-Ku maka Aku akan membuat hatimu kaya dan menutup kefakiranmu. Jika tidak melakukannya maka Aku akan penuhi tanganmu dengan kesibukan dan Aku tidak menutup kefakiranmu." 

(Riwayat Ahmad, Tirmizi, Ibnu Majah dan al-Hakim dari Abu Hurairah)



2. Memperbanyak Istighfar
Istighfar adalah rintihan dan pengakuan dosa seorang hamba di depan Allah , yang menjadi sebab Allah jatuh kasih dan kasihan pada hamba-Nya lalu Dia berkenan melapangkan jiwa dan kehidupan si hamba. Sabda Nabi s.a.w,
"Barang siapa memperbanyak istighfar maka Allah s.w.t akan menghapuskan segala kedukaannya, menyelesaikan segala masalahnya dan memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka." 
(Riwayat Ahmad, Abu Daud dan al-Hakim dari Abdullah bin Abbas)
3. Tinggalkan Perbuatan Dosa

Istighfar tidak laku di sisi Allah jika masih buat dosa. Dosa bukan saja membuat hati resah malah menutup pintu rezeki. Sabda Nabi s.a.w,
"… dan seorang lelaki akan diharamkan baginya rezeki kerana dosa yang dibuatnya."
(Riwayat at-Tirmizi)
4. Sentiasa Ingat Allah

Banyak ingat Allah buatkan hati tenang dan kehidupan terasa lapang. Ini rezeki yang hanya Allah beri kepada orang beriman. Firman-Nya:
"(iaitu) orang-orang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati Allah . Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenteram." 
(Ar-ra'd: 28)
5. Berbakti & Mendoakan Ibu Bapa

Dalam hadis riwayat Imam Ahmad, Rasulullah s.a.w. berpesan agar siapa yang ingin panjang umur dan ditambahi rezekinya, hendaklah berbakti kepada ibu bapanya dan menyambung tali kekeluargaan. Baginda s.a.w. juga bersabda,
"Siapa berbakti kepada ibu bapanya maka kebahagiaanlah buatnya dan Allah akan memanjangkan umurnya." 
(Riwayat Abu Ya'ala, at-Tabrani, al-Asybahani dan al-Hakim)
"Apabila hamba itu meninggalkan berdoa kepada kedua orang tuanya nescaya terputuslah rezeki (Allah ) daripadanya."
(Riwayat al-Hakim dan ad-Dailami)
6. Berbuat Baik & Menolong Orang Yang Lemah

Berbuat baik kepada orang yang lemah ini termasuklah menggembirakan dan meraikan orang tua, orang sakit, anak yatim dan fakir miskin, juga isteri dan anak-anak yang masih kecil. Sabda Nabi s.a.w.
"Tidaklah kamu diberi pertolongan dan diberi rezeki melainkan kerana orang-orang lemah di kalangan kamu." 
(Riwayat Bukhari)
7. Tunaikan Hajat Orang Lain

Menunaikan hajat orang menjadi sebab Allah lapangkan rezeki dalam bentuk tertunainya hajat sendiri, seperti sabda Nabi s.a.w. 
"Siapa yang menunaikan hajat saudaranya maka Allah akan menunaikan hajatnya…"
(Riwayat Muslim)
8. Banyak Berselawat

Ada hadis yang menganjurkan berselawat jika hajat atau cita-cita tidak tertunai kerana selawat itu dapat menghilangkan kesusahan, kesedihan, dan kesukaran serta meluaskan rezeki dan menyebabkan terlaksananya semua hajat. Wallahu a'lam.
9. Melakukan Banyak Kebajikan 

Ibnu Abbas berkata:
"Sesungguhnya kebajikan itu memberi cahaya kepada hati, kemurahan rezeki, kekuatan jasad dan disayangi oleh makhluk yang lain. Manakala kejahatan pula boleh menggelapkan rupa, menggelapkan hati, melemahkan tubuh, sempit rezeki dan makhluk lain mengutuknya."
10. Berpagi-pagi

Menurut Rasulullah s.a.w., berpagi-pagi (memulakan aktiviti harian sebaik-baik selesai solat Subuh berjemaah) adalah amalan yang berkat.
11. Menjalin Silaturrahim

Nabi s.a.w. bersabda:
"Barang siapa ingin dilapangkan rezekinya dan dilambatkan ajalnya maka hendaklah dia menghubungi sanak-saudaranya." 
(Riwayat Bukhari)
12. Sentiasa Berwuduk

Seorang Arab desa menemui Rasulullah s.a.w. dan meminta pedoman mengenai beberapa perkara termasuk mahu dimurahkan rezeki oleh Allah . Baginda s.a.w. bersabda,
"Sentiasalah berada dalam keadaan bersih (dari hadas) nescaya Allah akan memurahkan rezeki." 
(Diriwayatkan daripada Sayidina Khalid al-Walid)
13. Bersedekah

Sedekah mengundang rahmat Allah dan menjadi sebab Allah buka pintu rezeki. Nabi s.a.w. bersabda kepada Zubair bin al-Awwam:
"Hai Zubair, ketahuilah bahawa kunci rezeki hamba itu ditentang Arasy, yang dikirim oleh Allah azza wajalla kepada setiap hamba sekadar nafkahnya. Maka siapa yang membanyakkan pemberian kepada orang lain, nescaya Allah membanyakkan baginya. Dan siapa yang menyedikitkan, nescaya Allah menyedikitkan baginya." 
(Riwayat ad-Daruquthni dari Anas)
14. Melazimi Solat Malam (tahajud)

Ada keterangan bahawa amalan solat tahajjud memudahkan memperoleh rezeki, menjadi sebab seseorang itu dipercayai dan dihormati orang dan doanya dimakbulkan Allah .
15. Melazimi Solat Dhuha

Amalan solat Dhuha yang dibuat waktu orang sedang sibuk dengan urusan dunia (aktiviti harian), juga mempunyai rahsia tersendiri. Firman Allah dalam hadis qudsi,
"Wahai anak Adam, jangan sekali-kali engkau malas mengerjakan empat rakaat pada waktu permulaan siang (solat Dhuha), nanti pasti akan Aku cukupkan keperluanmu pada petang harinya." 
(Riwayat al-Hakim dan Thabrani)
16. Bersyukur Kepada Allah

Syukur ertinya mengakui segala pemberian dan nikmat dari Allah . Lawannya adalah kufur nikmat. Allah berfirman,
"Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur, nescaya Aku tambahi nikmat-Ku kepadamu, dan demi sesungguhnya jika kamu kufur, sesungguhnya azab-Ku amat keras." 
(Ibrahim: 7) 
Firman-Nya lagi: "… dan Kami akan memberi balasan kepada orang-orang yang bersyukur."     (Ali Imran: 145)
17. Mengamalkan Zikir & Bacaan Ayat Quran Tertentu

Zikir dari ayat-ayat al-Quran atau asma'ul husna selain menenangkan, menjenihkan dan melunakkan hati, ia mengandungi fadilat khusus untuk keluasan ilmu, terbukanya pintu hidayah, dimudahkan faham agama, diberi kemanisan iman dan dilapangkan rezeki.
Misalnya, dua ayat terakhir surah at-Taubah (ayat 128-129) jika dibaca secara konsisten tujuh kali setiap kali lepas solat, dikatakan boleh menjadi sebab Allah lapangkan kehidupan dan murahkan rezeki.
Salah satu nama Allah , al-Fattah (Maha Membukakan) dikatakan dapat menjadi sebab dibukakan pintu rezeki jika diwiridkan selalu; misalnya dibaca "Ya Allah ya Fattah" berulang-ulang, diiringi doa: "Ya Allah , bukalah hati kami untuk mengenali-Mu, bukalah pintu rahmat dan keampunan-Mu, ya Fattah ya 'Alim." Ada juga hadis menyebut, siapa amalkan baca surah al-Waqi'ah setiap malam, dia tidak akan ditimpa kepapaan. Wallahu a'lam.
18. Berdoa

Berdoa menjadikan seorang hamba dekat dengan Allah , penuh bergantung dan mengharap pada rahmat dan pemberian dari-Nya. Dalam al-Quran, Allah suruh kita meminta kepada-Nya, nescaya Dia akan perkenankan.
19. Berikhtiar Sehabisnya

Siapa berusaha, dia akan dapat. Ini sunnatullah. Dalam satu hadis sahih dikatakan bahawa Allah berikan dunia kepada orang yang dicintai-Nya dan yang tidak dicintai-Nya, tapi agama hanya Allah beri kepada orang yang dicintai-Nya saja. (Riwayat Ahmad, Ibnu Abi Syaibah dan al-Hakim)
Bagi orang beriman, tentulah dia perlu mencari sebab-sebab yang boleh membawa kepada murah rezeki dalam skop yang luas. Misalnya, hendak tenang dibacanya Quran, hendak dapat anak yang baik dididiknya sejak anak dalam rahim lagi, hendak sihat dijaganya pemakanan dan makan yang baik dan halal, hendak dapat jiran yang baik dia sendiri berusaha jadi baik, hendak rezeki berkat dijauhinya yang haram, dan sebagainya.
20. Bertawakal

Dengan tawakal, seseorang itu akan direzekikan rasa kaya dengan Allah . Firman-Nya:
"Barang siapa bertawakal kepada Allah , nescaya Allah mencukupkan (keperluannya)"
 (At-Thalaq : 3)
Nabi s.a.w. bersabda:
"Seandainya kamu bertawakal kepada Allah dengan sebenar-benar tawakal, nescaya kamu diberi rezeki seperti burung diberi rezeki, ia pagi hari lapar dan petang hari telah kenyang." 
(Riwayat Ahmad, Al-Hakim dari Umar bin al-Khattab)
Kesemua yang disebut di atas adalah amalan-amalan yang membawa kepada takwa. Dengan takwa, Allah akan beri "jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkan) , dan memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya." (At-Talaq: 2-3)
Pendek kata, bagi orang Islam, untuk murah rezeki dalam ertikata yang sebenarnya, kuncinya adalah buat amalan-amalan takwa. Amalan-amalan ini menjadi sebab jatuhnya kasih sayang Allah , lalu Allah limpahi hamba-Nya dengan keluasan rezeki dan rasa kaya dengan pemberian-Nya.
DOA MURAH REZEKI

Perihal Seorang Sahabat



Sahabat merupakan antara orang yang paling dekat dengan kita selain menjadi tempat kita berkongsi dan menceritakan permasalahan hidup dan sahabat juga menjadi penasihat dan pembimbing kita di kala kita kesempitan. Namun sahabat juga terkadang boleh menjadi racun dalam kehidupan kita jika kita salah memilih.

Mengekalkan persahabatan
Saling memberi kebebasan persahabatan memberi kita ruang untuk berkongsi suka duka bersama dan bukannya untuk saling menyakiti dan membenci di antara satu sama lain. Tetapi menjadi sahabat baik juga tidak bermakna kamu harus memiliki seluruh ruang hidupnya.

Misalnya, melarang temanmu membuat itu dan ini. Malah kamu juga sibuk mengatur perjalanan hidupnya. Ini jelas menunjukkan kamu terlalu mementingkan perasaan sendiri tanpa mempedulikan perasaan orang lain. Apalah salahnya jika kamu saling menghormati hak kebebasan dirinya. Dan apa yang penting, si dia jujur pada persahabatannya.

Saling Menahan rasa Cemburu
Ramai yang berkata cemburu itu bunganya cinta. Tanpa cemburu persahabatan yang dibina tak adalah 'thrill'nya. Tetapi cemburu yang membabi buta boleh menjejaskan hubungan. Ada baiknya sebelum api cemburumu memuncak, cuba selidiki dahulu kebenarannya. Jika ada yang tak kena, tanyalah temanmu itu dengan baik tanpa bersikap marah dan menuduh.

Usahakan untuk berbicara dengan fikiran yang matang dan tenang. Sebenarnya perasaan cemburu ini tidak perlu terlalu ditonjolkan kerana ini boleh membuatkan temanmu itu naik tocang. Dia akan mempergunakan kelemahan kamu itu untuk membuat kamu berasa cemburu dengan berulang kali. Tentu menyakitkan...

Saling Memahami
untuk menjadi sahabat yang baik kamu harus berusaha memahami dan mengenali diri sendiri serta permasalahannya dengan lebih mendalam. Misalnya temanmu itu menolak ajakanmu untuk keluar menonton wayang bersama, kamu tidak boleh membuat tanggapan yang bukan-bukan tentang dirinya. Mungkin dia mempunyai urusan yang mesti diselesaikan terlebih dahulu. Adalah lebih baik kamu mencari hiburan sendiri lagipun esok masih ada masa untuk kamu bertemu si dia.

Saling Mengalah
Demi menyelamatkan hubungan, tidak ada ruginya sekali sekala kamu bersikap mengalah. Kamu dan si dia sering bercanggah pendapat. Seperti menonton wayang, kamu sukakan filem romantik tetapi dia pula suka filem aksi. Oleh kerana sayangkan tali persahabatan yang telah terbina sekian lama maka si dia sentiasa menuruti segala kemahuanmu semata-mata mahu menjaga hati dan perasaanmu. Tetapi bila difikirkan semula, apalah salahnya sekali sekala kamu pula yang beralah dan cuba belajar memahami minatnya. Situasi ini tentu akan membuat si dia berasa bahagia dan lebih menyayangi dirimu.

Saling Memberi Kemaafan

Memaafkan perlu tetapi tidak mudah selagi perasaan kesal dan kecewa menguasai diri. Tetapi sebagai insan biasa, kita tidak dapat lari daripada melakukan kesalahan dan kesilapan. Lagipun, sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula kita sesama sendiri. Belajar menjadi seorang teman yang sudi memberi kemaafan kepada orang lain biarpun kamu sendiri tahu perkara itu bukanlah berpunca dari kesalahan atau kesilapan dirimu.

Cara-Cara memilih Sahabat
Nasihat yang boleh diikuti dalam membina persahabatan ialah sebagaimana pesanan al-Qamah (seorang sahabat Rasulullah saw) kepada anaknya:
1. Pilihlah sahabat yang suka melindungi sahabatnya, dia adalah hiasan diri kita dan jika kita dalam kekurangan nafkah, dia suka mencukupi keperluan.
2. Pilihlah seorang sahabat yang apabila engkau menghulurkan tangan untuk memberikan jasa baik atau bantuanmu, dia suka menerima dengan rasa terharu, jikalauia melihat kebaikan yang ada pada dirimu, dia suka menghitung-hitungkan (menyebutnya).
3. Pilihlah seorang sahabat yang apabila engkau menghulurkan tangan untuk memberikan jasa baik atau bantuanmu, ia suka menerima dengan rasa terharu dan dianggap sangat berguna, dan jika ia mengetahui mengenai keburukan dirimu ia suka menutupinya.
4. Pilihlah sahabat yang jikalau engkau meminta sesuatu daripadanya, pasti ia memberi, jikalau engkau diam, dia mula menyapamu dulu dan jika ada sesuatu kesukaran dan kesedihan yang menimpa dirimu, dia suka membantu dan meringankanmu serta menghiburkanmu.
5. Sahabat yang jikalau engkau berkata, ia suka membenarkan ucapan dan bukan selalu mempercayainya saja. Jikalau engkau mengemukakan sesuatu persoalan yang beratdia suka mengusahakannya dan jika engkau berselisih dengannya, dia suka mengalah untuk kepentinganmu.

Dalam memilih sahabat kita hendaklah memilih sahabat yang baik agar segala matlamat dan hasrat untuk memperjuangkan Islam dapat dilaksanakan ersama-sama sahabat yang mulia.


Sucikanlah 4 hal dengan 4 perkara , 

"Wajahmu dengan linangan air mata keinsafan, lidahmu basah dengan berzikir kepada Penciptamu, hatimu takut dan gementar kepada kehebatan Rabbmu, dan dosa-dosa yang silam di sulami dengan taubat kepada Dzat yang Memiliki mu."

Redha Allah atau Redha Manusia ?



Sudah menjadi lumrah apabila manusia sentiasa hendak dilihat menarik dan menjaga adab mereka walau di mana mereka berada di hadapan orang sekeliling. Kalau boleh semuanya ingin nampak sempurna dan terbaik. Dari segala aspek hidup, manusia akan menjaga tingkah laku sebaik-baiknya demi menjaga nama baik dan maruah seperti di majlis keramaian, di pejabat, majlis berbentuk protokol.



Manusia mengaplikasikan peraturan yang dicipta manusia sendiri, tetapi malangnya manusia lalai dalam mengaplikasikan peraturan yang hakiki yang dicipta oleh Yang Hakiki iaitu Allah SWT. Manusia lupa bahawa mematuhi peraturan sebenarnya yang akan dihitung, ditimbang dan dinilai di akhirat kelak berdasarkan amalan dan tingkah laku sehari-hari adalah 'standard' yang. Dan 'standard' inilah yang perlu dijaga sebaik-baiknya.

Menjaga 'standard' di pejabat

Kebanyakan pekerja sememangnya menjaga nama baik, sama ada nama baik diri, kumpulan mahupun jabatan. Waktu rehat pejabat secara umumnya adalah pada pukul 1 petang hingga 2 petang bagi pekerja awam dan swasta. Kebanyakan pekerja yang sentiasa mengikut peraturan akan keluar rehat pada pukul 1 tepat untuk melepak bersama kawan-kawan dan berborak sehingga hampir pukul 2 petang. Selepas itu, masuk semula ke pejabat pada pukul 2 petang, pekerja tersebut belum lagi solat walaupun waktu solat Zuhur sudah masuk.



'Eh.. dah pukul 2.00 lah. Aku naik pejabat dululah, tunjuk muka dulu, nanti turun ke surau untuk solat'.


Sampai begitu sekali kah kita menjaga 'standard' di hadapan manusia? Sehinggakan kita mengabaikan tahap 'standard' yang sepatutnya kita jaga di hadapan Allah.
Abdullah bin Mas'ud telah bertanya kepada Rasulullah SAW:

"Apakah amalan yg paling disukai Allah SWT?" Sabda Rasulullah SAW: "Solat dengan menjaga waktunya.".

(Riwayat Bukhari, al-Jaami al-Sahih no.2782])

Astaghfirullahala'zim.. Kita sanggup melewat-lewatkan solat hanya kerana tidak sanggup mendengar orang mengata kita. Kita sanggup mengabaikan 'pertemuan dengan Kekasih' kita, mengutamakan pertemuan dengan manusia



Menjaga 'standard' di majlis keramaian

'Nanti aku nak beli baju baru berwarna merah dan hitam sebab konsep tema Makan Malam Tahunan kolej kita adalah warna hitam dan merah kan.."

'Alah..pakai sahaja baju yang kau ada, makan malam tu sekejap sahaja, jangan membazir..'
'Mana boleh, nanti orang akan pandang aku pelik dan mesti orang akan mengutuk aku sebab aku tak ikut tema'.
Betulkah fenomena seperti di atas selalu sahaja terjadi kepada kita? Astaghfirullahala'zim..
Selalu sahaja kita ingin mengejar peraturan yang dicipta manusia sendiri. Jika boleh, sebaik-baiknya kita hendak dilihat mengikut keseragaman dan sempurna di mata manusia. Tetapi kita lupa dan lalai bahawa Allah sudah menetapkan peraturan berpakaian yang sepatutnya bagi kaum Hawa dan Adam. Lantas, kita berlebih-lebihan, tidak menutup aurat dan menunjuk-nunjuk asbab ingin lebih mulia di sudut pandangan manusia.
Tidak salah hendak mengikut tema sesuatu majlis selagimana tidak lupa pada peraturan hakiki yang sebenar-benarnya. Namun, hakikatnya ramai manusia lebih memilih untuk menjaga 'standard' di hadapan manusia lain, sehingga tidak hairan lah ada yang lebih selesa berpakaian tidak menutup aurat sebaik-baiknya. Malah ada yang berpakaian tetapi singkat dan jarang. Hanya kerana tidak mahu dikatakan kolot dan tidak mengikut trend dan fesyen.
Kita berlumba-luma untuk kelihatan anggun dan cantik di hadapan manusia. Tetapi kita selekeh dan comot sekali di hadapan Allah. Tidak sedarkah kita?

Mu'awiyah bin Haidah mengatakan : "Aku pernah bertanya : Ya Rasulullah , bagaimanakah aurat kami, apakah boleh dilihat oleh orang lain?". Baginda menjawab :"Jagalah auratmu kecuali terhadap isterimu atau hamba abdi milikmu". Aku bertanya lagi :" Ya Rasulullah , bagaimanakah kalau ramai orang mandi bercampur-baur di satu tempat? " Baginda menjawab : "Berusahalah seboleh mungkin agar engkau tidak melihat auratmu". Aku masih bertanya lagi: " Ya Rasulullah, bagaimanakah kalau orang mandi sendirian?" Baginda menjawab : " Seharuslah ia lebih malu kepada Allah daripada malu kepada orang lain".

(Hadis Riwayat Imam Ahmad dan Abu Daud).



Sesungguhnya kita hendak sahaja mengelakkan orang berprasangka buruk kepada kita, kerana itu dalam segala aspek kita hendak menjaga 'standard' di hadapan manusia, tetapi kita langsung tidak takut dan malu pada pandangan Allah SWT terhadap kita.



Kita lebih mencari kecintaan manusia lain berbanding kecintaan kepada Allah SWT kepada kita.

Kita lebih inginkan kemuliaan manusia daripada kemuliaan Allah SWT kepada kita.
Kita meraih redhanya manusia daripada redhanya Allah SWT sehingga sanggup mengenepikan hak Allah dengan melanggar perintah dan suruhanNya hanya kerana ingin menunaikan haknya manusia. Teringat suatu ketika Mu'awiyah meminta wasiat kepada isteri Baginda SAW iaitu Aisyah r.anha lalu 'Aisyah menulis seperti yang pernah disebutkan oleh Baginda SAW yang bermaksud:-

"Sesungguhnya barangsiapa yang mencari redha Allah sedangkan manusia murka, maka Allah akan cukupkan baginya akan segalanya di dunia ini. Tetapi barangsiapa yang mencari keredhaan manusia dalam keadaan Allah murka, maka Allah menyerahkan nasibnya pada manusia."

(Hadis Sahih Riwayat At-Tirmizi).

Justeru, manakah yang lebih baik? Yang lebih mulia? Yang lebih tinggi ? Redhanya manusia atau redhaNya Allah.. Lalu mengapa terlalu menjaga 'Standard' di Hadapan Manusia – Kenapa Tidak Kerana Allah?

Semoga kita sentiasa muhasabah diri dan menjadi yang terbaik di hadapan Allah.