Mandi sunat ialah mandi yang dikerjakan oleh seseorang untuk memperolehi pahala dan pujian dari Allah. Apabila ditinggalkan mandi sunat ini tidak menjadi masalah dan tidak dicela oleh Allah kepadanya. Mandi ini juga adalah mandi yang disunatkan dan solat dan ibadah lain tetap sah walaupun seseorang itu tidak melakukan mandi sunat ini.
1) Mandi Sunat Jumaat
Mandi sunat jumaat hanyalah disunat kepada mereka yang hendak
mengerjakan solat jumaat, boleh juga mandi sunat ini bagi orang yang
tidak wajib mengerjakan solat jumaat, seperti hamba sahaya, orang
musafir, kanak-kanak dan orang-orang perempuan. Rasulullah SAW bersabda :
“Apabila seseorang kamu ingin menghadiri solat jumaat maka hendaklah ia mandi.” (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)
Masa Mandi
Waktu untuk mandi sunat jumaat ini adalah bermula dari terbitnya fajar
Sidiq, walaupun begitu waktu yang paling afdal (baik) ialah mandi ketika
hendak pergi ke masjid untuk menunaikan solat fardhu jumaat. Orang yang
mandi setelah selesainya solat jumaat tidak dikira sebagai mandi sunat
jumaat, kerana habisnya waktu mandi ini setelah selesainya solat jumaat.
2) Mandi Sunat Hari Raya
Disunatkan mandi ke atas seseorang itu sekalipun mereka tidak ingin
menghadiri atau pergi ke masjid untuk solat hari raya, sekalipun
orang-orang perempuan yang dalam haidh dan nifas, kerana kedua-dua hari
raya itu adalah hari berhias dengan pakaian-pakaian yang cantik dan
bau-bauan yang harum. Oleh itu sewajarnya pada hari raya setiap orang
mestilah bersih badannya dari kekotoran dan bau yang busuk.
Dari Ibnu Abbad ra berkata :
“Adalah Rasulullah SAW mandi pada hari raya fitrah dan hari raya korban.” (Ibnu Majah)
Masa Mandi
Waktu mandi sunat dua hari raya ini adalah dari waktu pertengahan malam
sehinggalah terbenamnya matahari. Afdhal seseorang itu mandi sunat ini
selepas terbitnya fajar.
3) Mandi Sunat Solat Istisqa (Minta Hujan)
Disunatkan mandi ke atas mereka yang hendak keluar (pergi) ke tempat
sembahyang istisqa. Perkara ini adalah supaya hilang bau busuk yang ada
di badan mereka itu. Mandi sunat ini ia mempunyai persamaan dengan mandi
sunat jumaat, kerana ia mempunyai tujuan yang sama.
Masa Mandi
Masa mandi sunat solat istisqa ini adalah dari masa orang tersebut
hendak solat sunat istisqa. Masa habis waktu mandi sunat ini adalah
setelah selesainya solat sunat istisqa.
4) Mandi Selepas Memandikan Mayat
Adalah disunatkan bagi orang yang memandikan mayat agar dapat
membersihkan dirinya dengan cara mandi sebaik sahaja selesai memandikan
mayat. Rasulullah SAW bersabda :
“Sesiapa yang memandikan mayat maka hendaklah dia mandi.”
(Riwayat Ahmad)
Masa Mandi
Waktu mandi sunat selepas memandikan mayat ini adalah setelah selesainya mandi mayat.
5) Mandi Gerhana Matahari Dan Bulan
Disunatkan mandi ketika hendak mendirikan solat gerhana matahari dan
gerhana bulan. Mandi ini diqiyaskan kepada mandi sunat hari jumaat
kerana kedua-duanya mempunyai maksud yang sama.
Masa Mandi
Masa mandi sunat gerhana ini ialah dari mulanya berlaku gerhana matahari
dan bulan. Habis waktu mandi gerhana ini apabila tamatnya berlaku
gerhana.
6) Mandi Sunat Ihram
Mandi ketika hendak memakai ihram adalah diantara beberapa jenis mandi
yang disunatkan, sama ada mereka itu ihram haji atau umrah atau
kedua-duanya sekali. Ia disunatkan semua sama ada kanak-kanak atau orang
yang telah baligh, lelaki atau perempuan. Dari Zaid Bin Thabit ra
berkata :
“Dia pernah melihat Rasulullah SAW membuka pakaiannya ketika hendak berihram, lalu beliau mandi.” (Riwayat At-Tarmizi)
Masa Mandi
Bagi sesiapa yang ingin mandi sunat ihram ini ialah sebelum memakai ihram haji atau umrah.
7) Mandi Sunat Hendak Memasuki Kota Mekah
Bagi seseorang yang hendak memasuki Kota Mekah disunatkan mandi terlebih dahulu. Dari Ibnu Umar ra berkata :
“Dia tidak memasuki Kota Mekah kecuali bermalam di Zi Thuwa terlebih
dahulu hingga waktu pagi. Setelah itu, barulah dia memasuki ke Kota
Mekah pada siang harinya. Dia menyebutkan bahawa Nabi SAW pernah
melakukan seperti itu.” (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)
Masa Mandi
Masuk waktunya ialah daripada naik fajar dan afdhalnya kemudian daripada gelincirnya matahari.
8) Mandi Ketika Hendak Wuquf Di Arafah
Mandi kerana hendak wuquf di Arafah adalah diantara beberapa jenis mandi yang disunatkan. Dari Ibnu Umar ra berkata :
“Adalah Abdullah Bin Umar mengerjakan mandi untuk ihram sebelum dia
melakukan ihram, untuk masuk Kota Mekah dan untuk wuqufnya pada petang
harinya Arafah.” (Riwayat Malik)
Masa Mandi
Waktu untuk mengerjakan mandi sunat wuquf di Arafah ialah sebelum melakukan wuquf.

Tidak ada komentar:
Posting Komentar